History Other / Orang Asli Dan Pantang Larang

Orang Asli Dan Pantang Larang

This essay Orang Asli Dan Pantang Larang is available for you on Essays24.com! Search Term Papers, College Essay Examples and Free Essays on Essays24.com - full papers database.

Autor:  anton  14 March 2011
Tags:  Pantang,  Larang
Words: 1333   |   Pages: 6
Views: 1200

PENGENALAN

Mengikut Akta 134 - Akta Orang Asli 1954 (Disemak tahun 1974), orang Asli merujuk kepada individu seperti ibu-bapanya Orang Asli, ibunya Orang Asli, bapanya Orang Asli dan individu yang dipelihara sebagai anak angkat oleh Orang Asli semenjak kecil, di samping individu-individu berkenaan masih mengamalkan cara hidup, kepercayaan, adat istiadat dan berbahasa Orang Asli.

Berdasarkan kajian oleh Penolong Pengarah Ukhuwah 1, Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Mustapa Jaafar, Orang Asli dipercayai berasal dari utara Asia (Yunan dan Indocina). Penghijrahan ke negara ini berlaku secara berperingkat di Negrito, 25,000 tahun lampau, Senoi, 5,000 tahun lampau dan Melayu Proto, 4,000 tahun lampau.

Banci Penduduk Orang Asli tahun 2000 mencatatkan jumlah keseluruhan mereka seramai 138,882 dengan pecahan Negrito - 4,150 orang, Senoi - 72,871 orang dan Melayu Proto - 55,860 orang.

Mereka merupakan masyarakat yang tidak homogenous dan berasaskan dialek bahasa dan ciri-ciri fizikal, mereka boleh dibahagikan kepada tiga kaum iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto. Orang Asli merupakan istilah yang digunakan ke atas sekumpulan masyarakat pribumi di Semenanjung Malaysia, yang dikenali dengan panggilan lain seperti Sakai, Pagan dan Orang Darat.

KAUM ORANG ASLI

Setiap kaum boleh dipecahkan kepada enam suku kaum Negrito iaitu Kintak, Kensiu, Jahai, Mendrik, Batek dan Lanoh. Manakala Senoi terdiri daripada suku Temiar, Semai, Che Wong, Jah Het, Semaq Beri dan Mah Beri. Melayu Proto pula terdiri daripada suku kaum Temuan, Semelai, Jakun, Orang Kanak, Orang Seletar dan Orang Kuala.

Penempatan Masyarakat Orang Asli terdapat di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia, kecuali Pulau Pinang dan Perlis. Penempatan mereka tertumpu di kawasan pedalaman, iaitu 45.6 peratus daripada 840 buah perkampungan di seluruh negara, manakala 53.3% tinggal di pinggir bandar dan 1.1% di bandar.

KEPERCAYAAN MASYARAKAT ORANG ASLI

Sebahagian besar Orang Asli mengamalkan kepercayaan animisma dan selebihnya menganut pelbagai agama, iaitu Islam 22,428 orang (16.9%), Kristian (9,765 orang-7.3%), Hindu (383 orang - 0.3%), Buddha/Confusious (254 orang -0.19%), lain-lain Agama Cina (268 orang-0.2%), Animisma (71,098 orang - 53.5%), Lain-lain (4,051 orang - 3.0%), Tiada Agama ( 23,272 orang-17.5%) dan tidak diketahui (339 orang -0.3%).

Orang Asli juga mempunyai adat dan kepercayaannya tersendiri dan sebahagian besar mereka mengikuti sistem kepercayaan kepada `roh' atau animisma. Bagi masyarakat Orang Asli, sistem kepercayaan yang ada dalam masyarakat merupakan satu alat untuk mengawal masyarakat dan menghukumnya.

Bangsa Jakun (Orang Ulu), daripada suku kaum Melayu Asli (Melayu Proto) yang tinggal di selatan Semenanjung, berasal dari Yunan (Selatan Cina). Mereka masih mengamalkan animisme. Kehidupan mereka dipengaruhi oleh alam sekitar seperti gunung, bukit, lembah, sungai, batu, gua dan sebagainya. Mereka percaya kampung mereka akan dilanda bencana sekiranya ada di antara mereka yang melanggar pantang larang.

Pemilihan penempatan Suku Bangsa Temiar di sesuatu tempat ditentukan oleh Penghulu. Ini dilakukan dengan cara 'Berhalaq' (jampi) atau mimpi. Tempat yang hendak didiami jauh dari tanah perkuburan, bebas daripada adanya kayu keras seperti 'merbau' dan sebagainya. Mereka juga tidak membuat penempatan di kawasan berpaya (takungan air) kerana ditakuti berpenunggu. Begitu juga kawasan air terjun dan sungai besar juga tidak sesuai kerana ditakuti ada puteri sungai/lata yang akan mengganggu.

Suku bangsa Jahai pula merupakan satu daripada Suku Kaum Negrito iaitu suku kaum yang terkecil berbanding dengan kaum Senoi dan Proto-Malay (Melayu Asli). Mereka tinggal di Perak, terutama di kawasan Hulu Perak iaitu Banun, Sungai Tiang dan Persisiran Empangan Temenggor. Di Kelantan pula, mereka bertumpu di Sungai Rual dan Jeli di Hulu Kelantan. Kebanyakannya tinggal di kuala sungai dan persisiran tasik. Rumah mereka berbentuk pisang sesikat yang dibina daripada buluh dan beratapkan daun bertam dan tepus. Suku bangsa Jahai suka membuat rumah yang ringkas kerana mereka mengamalkan cara hidup berpindah-randah. Mereka berpindah dari satu tempat ke satu tempat apabila berlaku kematian, penyakit ganjil, perbalahan kecil, kerana keperluan makanan dan pertambahan penduduk.

PANTANG LARANG KEPADA PENGUNJUNG

Selain pantang larang ini diamalkan oleh kaum orang Asli, para pengunjung atau tetamu yang berkunjung ke rumah Orang Asli, hendaklah menghormati adat-adat dan kepercayaan mereka seperti tidak boleh naik sebelum dipelawa dan dilarang mengunjungi atau memanggil nama tuan rumah yang mempunyai daun-daun yang bergantung di hadapan pintu. Menurut mereka, gantungan daun tersebut menandakan orang sakit atau sedang berubat secara tradisional di dalam rumah tersebut.

Pengunjung juga tidak boleh menghampiri kanak-kanak kecil kerana tindakan itu boleh menghilangkan semangat mereka dan akhirnya boleh menyebabkan kematian. Malah mereka tidak boleh memuji kecantikan seorang kanak-kanak dengan pujian nama comel, gemuk, putih, gebu dan sebagainya

Selain daripada itu, tetamu juga tidak boleh membuat sebarang janji yang dirasakan mungkin kita tidak boleh menunaikannya. Menurut kepercayaan mereka, orang yang menunggu janji yang tidak ditunaikan akan ditimpa kemalangan atau sakit. Pengunjung juga tidak boleh memberi hadiah secara terus kepada seseorang wanita Orang Asli yang tidak dikenali dan hanya boleh diberikan melalui orang ketiga, iaitu batin, penghulu, bapa atau abang.

Para pengunjung juga tidak boleh menunjukkan atau bersikap sebagai pegawai, tidak boleh mengambil balik lebihan makanan yang disediakan di kampung tersebut, tidak boleh meludah di sebarangan tempat, tidak boleh mengintip atau mengintai-intai rumah, tidak boleh berdebat atau berbahas sesuatu masalah dan tidak menggunakan istilah yang menyinggung perasaan seperti `sakai'.

Mereka juga dilarang membuat perbandingan antara satu kampung dengan satu kampung yang lain dan tidak boleh memetik buah-buahan mereka secara sesuka hati seperti memetik sebiji rambutan, jambu dan lain-lain untuk dimakan sebagai percubaan.

Sikap dan perkara yang perlu diambil perhatian apabila berada di perkampungan Orang Asli, ialah memberitahu terlebih dahulu akan kehadiran pelawat melalui orang tengah, meminta izin sebelum naik ke rumah jika dipelawa naik, meminta izin penghulu atau batin untuk membuat sesuatu kegiatan yang melibatkannya, menerima dan menghargai pemberian walaupun pada hemat pelawat pemberian itu tidak perlu, tidak mengkritik atau mentertawakan sebarang adat atau kebiasaan yang mereka lakukan, berusaha menguasai bahasa mereka, menyertai kegiatan masyarakat yang diadakan dan berusaha memberi sebarang pertolongan yang diperlukan.

Pengunjung hendaklah menerima makanan dan minuman yang disediakan dan jika terpaksa menolak disebabkan tidak halal dan sebagainya, boleh menolak dengan istilah yang halus seperti `pantang' dan sebagainya.

PERSAMAAN DI ANTARA KEPERCAYAAN ORANG ASLI DAN MELAYU

Bagi masyarakat Orang Asli, adat resam semasa hamil juga amat dititik beratkan, seperti juga adat-adat berkaitan aspek kehidupan yang lain. Terdapat sedikit persamaan dengan adat resam masyarakat Melayu terutamanya dalam beberapa adat kelahiran tertentu di kalangan masyarakat Orang Asli dari suku kaum Melayu Asli. Berikut dipaparkan adat resam kelahiran yang diamalkan oleh masyarakat Orang Asli secara ringkas yang merangkumi peringkat sewaktu mengandung, semasa bersalin dan selepas lahir secara ringkas.

Di kalangan masyarakat Orang Asli terutamanya dari suku kaum Melayu Asli, wanita yang mengandung akan menempah seorang bidan yang akan membantu wanita berkenaan ketika bersalin.

Ketika kandungan berusia tujuh bulan , bidan yang dipilih itu perlu melakukan upacara melenggang perut. Upacara itu akan dijalankan oleh mak bidan yang akan menjampi wanita yang mengandung itu bertujuan untuk mengusir sebarang semangat jahat dan gangguan lain bagi menjamin keselamatan ibu serta bayi. Di samping itu, adat ini juga penting untuk menentukan kandungan berada di kedudukan yang betul agar memudahkan proses bersalin kelak. Kelazimannya adat ini akan disertai dengan sedikit jamuan makan.

Selain adat tersebut, terdapat beberapa perkara yang perlu dihindari oleh wanita mengandung dan berikut adalah beberapa pantang larang yang masih diamalkan oleh masyarakat Orang Asli. Wanita mengandung tidak boleh mentertawakan binatang seperti monyet kerana dikhuatiri muka dan perlakuan bayi akan menyamai haiwan berkenaan. Mereka dilarang memakan ikan yang bewarna merah kerana dikhuatiri berlakunya tumpah darah ketika melahirkan bayi.

Wanita mengandung juga dilarang bekerja pada waktu subuh dan maghrib kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan kelihatan tidak bermaya kerana semangatnya telah terganggu.

Mereka dilarang mengetuk paku pada kayu di sebelah petang kerana dikhuatiri bayi atau ibu akan sakit atau mati.

PENUTUP

Masyarakat Orang Asli agak sukar menerima perubahan kerana mereka sudah selesa dengan cara kehidupan dan adat resam yang diwarisi turun-temurun daripada nenek-moyang mereka. Kedudukan ekonomi, pendidikan dan nilai pengorbanan serta sosio-budaya yang berbeza, menyebabkan mereka sukar menerima perubahan. Walau bagaimanapun, kemasukan Islam dan Kristian ke dalam masyarakat Orang Asli telah menambahkan lagi kepelbagaian dalam adat dan budaya masyarakat tersebut.

BAHAN RUJUKAN

1. Dakwah Orang Asli - Kenali pantang larangnya, rencana oleh Azmi Abdul Malek, www.utusan.com.my

2. jheoa.gov.my

3. Tanah Tujuh – Close encounters with the Temuan Mythos, Antares. Silverfishbooks.

4. Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) Kertas 1 dan 2, Azhar Hj. Mad. Aros. Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.



Get Better Grades Today

Join Essays24.com and get instant access to over 60,000+ Papers and Essays

closeLogin
Please enter your username and password
Username:
Password:
Forgot your password?